Ahad, 10 April 2011

Kejayaan sultan salahuddin al-ayyubi

Kejayaan sultan salahuddin al-ayyubi
Assalamualaikum dan salam sejahtera..... kali jom kita tegok pulak kejayaan yang telah di lakukan oleh salahuddin al-yyubi.

Selepas berjaya menguasai Mesir, beliau mula menumpukan perhatian untuk kembali menguasai Jerusalem (Baitul-Maqdis) yang ketika itu dikuasai pihak Kristian. Untuk tujuan itu, beliau mula menjalankan kempen-kempen ketenteraan terhadap wilayah-wilayah Islam yang lain dengan tujuan untuk menyatupadukan tentera Islam di bawah satu panji serta memantapkan lagi barisan tentera Islam. Setelah merasakan tentera Islam cukup kuat, beliau mula menggerakkan tentera Islam menentang pihak Kristian atau lebih dikenali sebagai tentera Salib kerana mereka memakai pakaian yang berlambang salib serta membawa palang-palang salib yang besar ketika berperang. Siri peperangan ini telah dicatatkan di dalam sejarah sebagai Perang Salib.

Perang Salib
Perang Salib mempunyai beberapa siri. Ada yang mencatatkan sebanyak 7 kali peperangan Salib pernah berlaku. Perang Salib yang pertama berlaku ketika penawanan Baitul-Maqdis oleh tentera Salib. Ketika itu, pihak tentera Salib yang berjaya menguasai kota itu telah menunjukkan sifat tidak berperikemanusiaan di mana kanak-kanak, perempuan serta orang tua turut dibunuh, dan mayat-mayat mereka bergelimpangan di sekitar kawasan kota. Perang Salib kedua berlaku yang mana peperangan ini turut digelar sebagai peperangan Hittin. Pertempuran ini telah berlaku di kaki bukit Hittin di Tiberias di antara tentera Islam pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi sendiri dan tentera Salib yang dipimpim oleh raja Kristian yang memerintah Jerusalem serta beberapa pembesar Kristian yang lain seperti Guy dari Lusignan dan Raynald dari Chatillon. Peperangan ini meletus selepas tentera Salib yang dipimpin oleh Raynald dari Chatillon menyerang sekumpulan kabilah Arab yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji. Peristiwa ini telah mencetuskan kemarahan Salahuddin Al-Ayyubi dan menjadi titik tolak kepada penawanan semual Baitul-Maqdis. Dalam peperangan ini, Guy dari Lusignan, Raynald dari Chatillon dan beberapa pemimpin Kristian yang lain telah berjaya ditawan oleh tentera Islam. Salahuddin sendiri telah menghukum pancung Raynald dari Chatillon atas kebiadaban beliau menyerang kabilah Arab tersebut. Namun, para pemimpin Kristian yang lain telah dibenarkan pulang dan tidak diapa-apakan.

Penawanan Baitul-Maqdis
Setelah hampir 88 tahun (ada menyebut 92 tahun) kota Baitul-Maqdis dikuasai pihak Kristian, pada tanggal 27 Rejab, 538 Hijrah (1187 Masihi), Salahuddin bersama tentera Islam pimpinannya telah berjaya memasuki kota Baitul-Maqdis. Laungan "Allahhuakhbar" telah bergema menguasai persekitaran langit dan bumi ketika itu. Betapa besarnya kejayaan yang telah diperolehi tentera Islam pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi ketika itu.

Perang Salib Ketiga
Perang Salib Ketiga telah meletus setelah berita kejayaan Salahuddin Al-Ayyubi menguasai Jerusalem sampai ke pengetahuan para pemimpin Kristian yang lain. Para panglima besar Kristian serta raja-raja Kristian yang lain telah bersekutu di bawah panji Salib untuk menggempur kembali serta menawan semula Jerusalem. Antara mereka termasuklah beberapa nama besar dunia Kristian seperti raja Richard berhati Singa iaitu raja England serta Philip Augustus iaitu raja Perancis dan juga Fredrick Barbossa iaitu raja Jerman. Kesemua tentera di bawah pimpinan raja-raja ini telah bergerak dan menggempur kota Jerusalem. Namun, tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi sedikitpun tidak gentar bahkan mereka tetap berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan kota Jerusalem dari jatuh ke tangan pihak Kristian. Peperangan ini telah berlanjutan dan memakan masa selama hampir lima tahun. Setelah kedua-dua pihak menjadi letih dan lesu akibat peperangan yang tidak kunjung tiba penamatnya, satu perjanjian telah dibuat pada tahun 1192 Masihi di antara Salahuddin Al-Ayyubi dan pihak Kristian yang dinamakan Perjanjian Ramla. Perjanjian ini telah mengakui bahawa Salahuddin sebagai pemerintah Jerusalem yang sah dan seluruh Jerusalem dikuasainya kecuali sebuah bandar iaitu Acra dikuasai oleh pihak Kristian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan